ALOR SETAR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah merampas kira-kira 372.4 kilogram (kg) daun ketum dan sejumlah dadah jenis heroin dan syabu dalam operasi yang dilakukan di tiga buah kampung dalam daerah Padang Terap sejak kelmarin.
Dalam serbuan bermula pukul 4 petang kelmarin hingga 10 pagi semalam itu, seramai 21 lelaki termasuk tiga warga Thailand yang berusia antara 22 hingga 55 tahun ditahan.
Timbalan Pengarah Kanan, Penguatkuasaan Dan Keselamatan AADK negeri, Nasru’ddin Abdul Rahman berkata, operasi di Kampung Padang Setol, Tanjung Putus dan Pong itu dilakukan berdasarkan aduan yang diterima menerusi talian hotline AADK.
“Dalam operasi di Kampung Padang Setol, kita menahan seorang lelaki tempatan berketurunan Siam dan tiga warga Thailand serta merampas kira-kira 350 kg daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, serbuan di kampung sama berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berketurunan Siam dan seorang perempuan warga Thailand serta merampas 4.7 kg daun ketum.
“Seterusnya kita menahan dua lelaki tempatan dan merampas 17.7 kg daun ketum serta 2.89 gram disyaki heroin dan 2.19 gram disyaki syabu di kampung sama,” ujarnya.
Tambahnya, operasi yang dilakukan di sarang penagihan dadah di Kampung Tanjung Putus dan Kampung Pong berjaya menahan 13 individu yang disyaki penagih dadah.
“Kesemua 21 individu yang ditahan dalam operasi tersebut didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” jelasnya. – K! ONLINE











