Tujuh penuntut IPT ditahan leka hisap dadah - Utusan Malaysia

Tujuh penuntut IPT ditahan leka hisap dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT 15 April – Tujuh penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Seri Iskandar antara sembilan ditahan polis setelah disyaki terlibat dalam kegiatan dadah dalam serbuan berasingan di dua buah rumah di Persiaran Iskandar Perdana di sini semalam dan di Ipoh hari ini.

Dalam ketiga-tiga serbuan itu, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan bersama dadah jenis kanabis seberat 355.13 gram dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam tangkapan pertama pada pukul 11 malam di Seri Iskandar, lima lelaki dengan tiga daripadanya penuntut IPT yang sedang leka menghisap dadah ditahan bersama dadah jenis kanabis seberat 53.67 gram.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemeriksaan menjumpai kotak mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis seberat 4.00 gram dan satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat tumbuhan kering disyaki dadah jenis sama dengan berat 49.67 gram.

“Turut dijumpai di atas lantai rumah berkenaan ialah botol kaca yang diubahsuai, dua alat pengisar dan dua pemetik api yang dipercayai dijadikan sebagai alat untuk menghisap dadah.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, kita membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan berhampiran pada pukul 12.30 tengah malam dan menahan tiga lagi penuntut lelaki IPT sama masing-masing berusia 22 tahun,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, ketiga-tiga penuntut terbabit ditahan di ruang tamu, bilik utama dan bilik ketiga rumah tersebut ketika sedang menghisap dadah.

Katanya, turut dijumpai dalam serbuan tersebut ialah 79.41 gram dadah jenis kanabis dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah tersebut.

“Berdasarkan soal siasat terhadap suspek, mereka mendakwa mendapat bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki lain. Serbuan kemudiannya dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah di Ipoh pada pukul 4.16 pagi tadi.

“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga penuntut di IPT sama dan merampas dadah jenis kanabis seberat 222.05 gram,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan ujian air kencing terhadap kesemua mereka mendapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan direman empat hari untuk siasatan lanjut bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini