KUANTAN – Seorang anggota polis maut selepas kenderaan jenis Toyota Hilux milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipandunya terbabas di Kilometer 220.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, Lans Koperal Jackie Patan, 32, disahkan maut semasa kejadian pukul 1 tengah hari itu.
Menurut beliau, mangsa yang berasal dari Bintangor, Sarawak itu merupakan seorang anggota Unit Anjing Pengesan (K9) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Selain itu, tambah beliau, Ketua Seksyen K9 IPK Terengganu, Sarjan P. Abimannan, 58, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan tersebut pula mengalami cedera ringan.
Mengulas berhubung kejadian itu, Kamarulzaman berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan tersebut terbabas sejurus terlanggar lopak air di atas permukaan jalan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Kenderaan dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang jalan dan seterusnya memasuki longkang.
“Mangsa berasal dari Bintangor, Sarawak mengalami parah di kepala,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











