JOHOR BAHRU 15 April – Bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Puteri dijangka akan mula beroperasi awal tahun depan dengan pertambahan 100 katil baharu menjadikan keseluruhan katil di hospital pakar itu berjumlah 240.
Pengerusinya, Aminudin Dawam berkata, pembinaan bangunan baharu itu melibatkan kos keseluruhan RM120 juta termasuk peralatan hospital.
“Blok baharu ini membabitkan bangunan setinggi sembilan tingkat dan apabila siap kelak, ia akan menjadi mercu tanda baharu buat bandar raya ini.
“Di bangunan baharu ini nanti akan ditempatkan 20 klinik doktor pakar tambahan sejajar dengan peningkatan bilangan katil iaitu sebanyak 100 katil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peletakan Bangunan Tambahan Hospital Pakar KPJ Puteri, di sini sebentar tadi.
Hadir menyempurnakan majlis, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim yang juga merupakan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad. – UTUSAN ONLINE











