AUSTIN, Texas 15 April – Penunggang Suzuki, Alex Rins menewaskan Valentino Rossi untuk merangkul kejuaraan MotoGP pertamanya pada Grand Prix Americas.
Perlumbaan hari ini turut menyaksikan rekod bersih juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Honda di Litar Americas lebur selepas pelumba Sepanyol itu terlibat dalam kemalangan setelah memulakan saingan dari petak pertama.
Marquez bermula baik dan kelihatan bersedia merangkul kemenangan ketujuh berturut-turut di Austin selepas mengharungi beberapa pusingan awal.
Dia juga mengatasi pelumba Yamaha, Rossi dengan kelebihan hampir 4 saat sebelun terlibat dalam kemalangan di Selekoh 12, pada pusingan kesembilan, sekali gus menamatkan perlumbaan lebih awal.
Rossi gagal memanfaatkan situasi tersebut, sebaliknya bergelut dengan masalah kelajuan jentera untuk membolehkan Rins memintas pada Selekoh 7, pusingan ke-17.
Sejurus tamat perlumbaan, Marquez mengakui, dia tidak pasti apa sebenarnya berlaku dan apakah kemalangan berpunca daripada kecuaiannya.
“Saya tidak tahu. Sudah tentu ada kesilapan berlaku kerana anda tidak akan terlibat dalam kemalangan tanpa sebab ketika sedang mendahului 3.5 saat.
“Apa pun kami akan melihat data yang dikumpul untuk mencari punca kerana saya sebenarnya mengharungi satu perlumbaan yang baik tanpa isu teknikal.
“Dalam perlumbaan, perkara seperti ini kadangkala boleh berlaku dan sukar untuk difahami, saya amat kecewa,” kata Marquez.
Nasib malang Marquez bagaimanapun ‘tuah’ buat rakan senegaranya, Rins yang menghadiahkan kemenangan pertama buat Suzuki dalam kelas perdana sejak Maverick Vinales melakukannya di Silverstone pada 2016.
“Saya sangat gembira dan tidak dapatkan gambarkan apa yang dirasai ketika ini.
“Sebaik sahaja melepasi garisan penamat sebagai pemenang, ia satu perasaan yang luar biasa, apatah lagi berjaya menewaskan Rossi iaitu idola saya dari kecil,” kata Rins, 23.
Melengkapkan podium ketiga di belakang Rins dan Rossi adalah pelumba Ducati, Jack Milner. – AGENSI











