City terus tekan Liverpool - Utusan Malaysia

City terus tekan Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 14 April – Dua jaringan Raheem Sterling memastikan Manchester City terus berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan Crystal Palace 3-1, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan City merampas kembali kedudukan pendahulu daripada Liverpool dengan mengumpul 83 mata, satu mata mengatasi Reds ketika kedua-dua pasukan berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan musim ini.

Liverpool bagaimanapun mampu kembali melonjakkan diri ke tangga teratas sekiranya mengalahkan Chelsea dalam perlawanan tumpuan di Anfield, sebentar lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam aksi di Selhurst Park, bekas bintang Liverpool, Sterling meletakkan skuad The Citizens mendahului selesa 2-0 pada minit ke-15 serta 63.

Bagaimanapun, anak-anak buah Pep Guardiola cemas seketika apabila Luka Milivojevic berjaya merapatkan jurang, sembilan minit sebelum tamat permainan.

Palace cuba melakukan kebangkitan dan memberi tekanan kepada City dengan melancarkan beberapa asakan ke gawang pasukan pelawat dalam usaha mencari gol penyamaan.

Namun begitu, segala usaha mereka untuk bangkit musnah sebaik sahaja Gabriel Jesus meledak gol ketiga City ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan.

Kemenangan ini bukan sahaja menyuntik keyakinan City untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana, malah menaikkan semula motivasi pemain selepas tewas 0-1 kepada Tottenham dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara, Selasa lalu.

City akan menerima kunjungan Spurs pada suku akhir kedua, Rabu ini dengan harapan untuk merubah keadaan dan meraih tiket separuh akhir Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini