KUALA LUMPUR 14 April – Langkah untuk merombak barisan exco Kerajaan Negeri Johor disifatkan sebagai langkah tepat dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran dengan lebih baik.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, perubahan yang bakal dilakukan Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal merupakan amalan biasa bagi setiap pemimpin di peringkat negeri.
Malah katanya, Sahruddin juga perlu belajar daripada pentadbiran terdahulu dan menumpukan perhatian bagi menjaga hal ehwal kebajikan rakyat
“Adalah biasa bagi kerajaan negeri menukar barisan kepemimpinan eksekutif mereka selepas perubahan kepemimpinan teratas. Lagipun, eksekutif negeri yang dilantik oleh bekas menteri besar mungkin tidak dapat bekerjasama dengan kepemimpinan baharu.
“Saya berharap wakil rakyat yang berkeupayaan menjadi sebahagian daripada pentadbirannya dan mengekalkan exco asal yang bagus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sahruddin yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu hari ini berkata, barisan exco tersebut akan dilantik dalam tempoh 14 hari. – UTUSAN ONLINE











