KUALA LUMPUR 14 April – Sebuah lagi premis judi dalam talian yang baharu sahaja beroperasi dua hari di sekitar Cheras diserbu polis malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 11.30 malam itu, turut ditahan iaitu tiga lelaki warga Bangladesh.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya hasil maklumat orang awam.
Ujarnya, ketika serbuan tersebut dilakukan terdapat dua lelaki sedang leka bermain mesin perjudian manakala seorang lagi warga asing merupakan penjaga premis.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas satu keping kad dipercayai digunakan untuk mencatit nilai pertaruhan judi, tiga keping kad tambah nilai simulator, mesin simulator (3) dan wang tunai RM400.
“Berikutan itu, ketiga-tiga individu terbabit ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap Balai Polis Cheras sebelum proses permohonan reman dibuat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamed Mokhsein, siasatan lanjut masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pejabat Ketua Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050 atau Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE











