Mohamad bertemu pengundi Rantau - Utusan Malaysia

Mohamad bertemu pengundi Rantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 14 April – Datuk Seri Mohamad Hasan yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam, turun padang bertemu orang ramai di Pasar Rantau hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu tiba kira-kira pukul 9 pagi dan melawat pasar berkenaan untuk bertemu peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak 2004, sempat berbual dan bertanya khabar dengan orang ramai yang sebahagian besarnya dikenali sejak dulu lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam sidang akhbarnya, Mohamad berkata, beliau tidak menjangka memperoleh kemenangan selesa memandangkan Pakatan Harapan (PH) berkempen dengan jentera yang besar.

MOHAMAD HASAN beramah mesra dan mengucapkan terima kepada orang ramai selepas memenangi Pilihan Raya
MOHAMAD HASAN beramah mesra dan mengucapkan terima kepada orang ramai selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau di Pasar Rantau, di Rembau hari ini. – UTUSAN ONLINE/ABD RAZAK AID

“Sebab itu sepanjang kempen saya selalu cakap peluang menang 50/50 kerana tak mahu jentera cepat rasa selesa dengan laporan BN akan menang.

“Ramai menteri, timbalan perdana menteri dan Presiden PKR setiap hari berkempen di Rantau. Saya yakin penduduk ada pendirian dan buat keputusan sebelum penamaan calon lagi. Cuma saya tak sangka menang selesa. Saya menyangka menang majoriti bawah 2,000 undi,” katanya di sini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi dalam PRK DUN Rantau sekali gus mengatasi calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,501 serta dua calon Bebas.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, selain undi golongan muda, kehadiran pengundi yang tinggal di luar DUN Rantau banyak membantu kemenangannya.

Katanya, kejayaan itu diperoleh hasil sokongan pengundi semua kaum kepada BN serta menunjukkan manifestasi kesatuan penduduk Rantau.

Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dalam sesi pertama Persidangan DUN Negeri Sembilan pada minggu depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini