KUALA TERENGGANU 14 April – Jurulatih Terengganu FC ll (TFC ll), Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menentang Sarawak dalam aksi Liga Perdana malam tadi adalah yang terburuk.
Tewas mengejut 1-2 kepada Skuad Bujang Senang, dis mengakui segalanya tidak menjadi biarpun TFC ll terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import dari Nigeria, Akanni Sunday Wiasu pada minit ke-15.
Menurut Tengku Hazman, lebih membuatkannya terkilan apabila Skuad The Titan mempunyai lambakan peluang untuk menjaringkan gol tetapi disia-siakan menyebabkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah di laman sendiri lebur dalam sekelip mata.
“Dengan cara permainan sebegitu memang patut pun kita kalah kerana semua ‘department’ (posisi) tidak bermain seperti yang diharapkan.
“Separuh masa kedua pula pemain sudah tidak bermain secara berpasukan tetapi individu dan tidak mengikut apa yang kita rancangkan.
“Saya tak jangka pasukan bermain seteruk ini. Bukan seorang dua tetapi semua pemain tidak ada keyakinan,” katanya selepas perlawanan menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Menjelang pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu depan, dia berkata, pihaknya akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari bagi melakukan persiapan serta perancangan bagi memastikan tragedi kekalahan seperti malam tadi tidak berulang.
“Kita mungkin akan lakukan sedikit rombakan kecil kerana ada beberapa pemain yang cedera termasuk Bruno Suzuki.
“Namun kerisauan saya dalam perlawanan menentang PDRM itu nanti ialah pemain terpaksa bermain pada sebelah petang yang mana mereka tidak biasa dengan cuaca,” katanya.
TFC ll menduduki tangga kelima liga selepas Selangor United dengan 12 mata. – BERNAMA











