JOHOR BAHRU 14 April – Menteri Besar yang baharu, Dr Sahruddin Jamal berjanji akan menggalas amanah yang diberikan sepenuh hati bagi memastikan kemajuan negeri ini.
Beliau berkata, apa yang penting buat masa ini adalah untuk memastikan rakyat menikmati kemajuan dan pembangunan yang dirancangkan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Osman Sapian kerana beliau menjadi penggerak utama kami selama ini di sini bersama-sama dengan pemimpin pusat untuk pasukan Johor.

“Banyak yang Datuk Osman lakukan dan saya akan teruskan segala agenda yang direncanakan, dengan bantuan semua, in sha Allah kita akan dapat membawa Johor ke depan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.
Sahruddin berkata, beliau juga akan sentiasa mengingati nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan pemimpin berintegriti untuk memastikan nasib rakyat terus terbela. – UTUSAN ONLINE











