KUALA LUMPUR 13 April – Melaka United terus dirundung malang gagal mencari kemenangan selepas lima perlawanan berturut-turut apabila tewas 0-1 kepada PKNP FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri, hari ini.
Kesilapan Ahmad Khuzaimi Piee menolak bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-65 menghukum skuad Sang Kancil di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Kekalahan keempat musim ini menyebabkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan jatuh ke tangga keenam liga manakala PKNP menghuni kedudukan ketujuh.
Biarpun dianggap antara pasukan pilihan musim ini selepas berbelanja besar membawa masuk beberapa pemain berpengalaman seperti Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi, namun Melaka United masih gagal mempamer aksi meyakinkan.
Mereka sebelum ini dikecewakan 3-4 oleh Selangor dalam aksi Liga Super di laman sendiri, selain tewas 2-3 kepada PKNS (Piala FA), seri 0-0 dengan Perak dan kalah 0-3 kepada Terengganu.
Kemenangan terakhir Melaka adalah menumpaskan pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur 2-0 di tempat sendiri pada 3 Mac lalu.
Sementara itu, Kuala Lumpur mengutip satu lagi mata musim ini selepas mengikat Felda United 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Skuad The City Boys yang mengejutkan Kedah 2-1 dalam aksi terakhir liga, Sabtu lalu memperoleh gol penyamaan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-57.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Abdul Azim Rahim pada minit ke-34. – UTUSAN ONLINE











