LONDON 13 April – Tottenham masih mampu melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Huddersfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini meskipun merehatkan sebahagian besar tonggak utama.
Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino mahu menyimpan tenaga untuk memastikan pemainnya cergas menjelang suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City, Rabu depan.
Mereka hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam suku akhir pertama, Rabu lalu.
Spurs yang sudahpun kehilangan bintang penyerang, Harry Kane akibat kecederaan memilih untuk merehatkanSon Heung-min, Danny Rose dan Toby Alderweireld dari kesebelasan utama.
Rombakan itu tidak sedikit pun menjejaskan rentak permainan Tottenham apabila Lucas Moura meledak hatrik dan Victor Wanyama menjaringkan gol pertamanya dalam kempen Liga Perdana untuk memastikan kemenangan mereka.
“Kami mahu memastikan pemain-pemain utama cergas sepenuhnya kerana perlawanan besar bakal menanti selepas ini.
“Semua orang ada pandangan masing-masing tentang siapa yang patut diturunkan tetapi saya perlu membuat keputusan yang tepat,” kata Pochettino kepada Sky Sports.
Kemenangan ke atas Huddersfield, pasukan yang sudahpun tersingkir dari Liga Perdana musim depan membolehkan Tottenham kembali ke tangga ketiga liga dengan 67 mata, satu mata mengatasi pasukan keempat, Chelsea. – AGENSI











