REMBAU 13 April – Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai di luar jangkaan malah selain kejayaan yang amat selesa.
Jelas Timbalan Pengerusi BN itu lagi, kemenangan beliau dengan majoriti 4,510 undi itu agak selesa kerana ramai berpandangan kawasan Rantau mencerminkan kemajmukan rakyat di Malaysia.
“Ada orang Melayu yang tak berapa banyak majoritinya kerana di tempat lain orang boleh kata BN boleh mudah menang kerana banyakkan pengundi Melayu, tetapi di sini cuma kira-kira 53 peratus pengundi Melayu dan yang lain-lain pengundi India dan Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Penjumlahan Undi, PRK Rantau di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Mohamad, kemenangan BN di Rantau juga merupakan kemenangan hatrik selepas berjaya memenangi PRK di Cameron Highlands dan Semenyih.
“Ini merupakan kemenangan ketiga selepas kita berjaya mempertahankan kerusi Cameron Highlands, merampas kerusi Semenyih dan pada hari ini dapat pertahankan kerusi DUN Rantau.
“BN selepas akan terus menjadi parti yang menyemak prestasi parti kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) yang kita tahu terdapatnya kelemahan pentadbiran yang ketara. Kita perlukan blok pembangkang iaitu BN, Pas dan parti-parti yang ada dalam Parlimen dan DUN untuk memeriksa dan menyemak kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, tegas Mohamad, kemenangan selesa BN juga menunjukkan kepada PH bahawa rakyat menolak strategi kempen menyerang peribadi dan tohmahan.
“Memang banyak tuduhan peribadi yang dilemparkan kepada saya terutamanya juga kepada Datuk Seri Najib yang tak sudah-sudah seolah-olah beliau yang bertanding.
“Orang dah mula muak dengan politik menfitnah, menyalahkan orang lain kerana ia tidak akan kemana-mana. Rakyat mahu dengar kemanakah arah tuju negara ketika ini, tapi asyik menuduh orang lain dan cakap kesalahan BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE











