KUALA LUMPUR 13 April – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuktikan BN mampu mendapat sokongan di kawasan yang mempunyai pengundi berbilang kaum.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan keputusan di pelbagai saluran, undi yang diterima oleh Mohamad bukan daripada Melayu sahaja, malah meliputi pelbagai kaum.
“Keputusan ini mungkin lebih signifikan berbanding Cameron Highlands dan Semenyih. Sudah tentu ia kerana Tok Mat, tetapi ia juga bermakna BN boleh meraih semula sokongan di kawasan berbilang kaum,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.
PRK DUN Rantau melibatkan hampir 21,000 pengundi dengan 55.11 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina 18.80 peratus dan India 26.06 peratus.
Khairy mengakui beberapa kelebihan yang dimiliki oleh Mohamad menjadi faktor kemenangan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti itu dalam PRK DUN Rantau.
Namun katanya, kemenangan itu dicapai meskipun kerajaan Pakatan Harapan menentang BN melalui isu Felda, Lembaga Tabung Haji, berlian merah jambu, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta serangan peribadi terhadap Mohamad
“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) malah tinggal di Rantau hanya kerana PRK,” katanya dalam akaun media sosialnya itu.-UTUSAN ONLINE











