SABAK BERNAM – Kegiatan warga asing yang menangkap hasil laut menggunakan bubu naga berjaya dipatahkan dalam dua serbuan berasingan sekitar perairan Sungai Besar di sini hari ini.
Dalam serbuan dilakukan pukul 8.15 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) merampas beberapa buah bubu naga, dua buah bot gentian kaca dan sebuah bot pancung dengan nilai keseluruhan hampir RM40,000.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, kejayaan itu hadir selepas pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan dalam rondaan di kawasan tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui bubu naga yang dipasang berhampiran bot tersebut.
“Selepas hampir satu jam melakukan pemantauan didapati sebuah bot dinaiki dua lelaki disyaki warga asing telah menghampiri kawasan bot yang menempatkan bubu naga terbabit.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri ke kawasan hutan bakau berdekatan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Justeru, Khairuddin menegaskan pihaknya kemudiannya merampas
dua buah bot gentian kaca bersama beberapa pukat bubu naga dianggarkan bernilai RM20,000.
Tambah beliau, sejam kemudiannya pihaknya sekali lagi merampas sebuah bot pancung serta pukat bubu naga bernilai RM19,000 di perairan itu.
“Kita percaya kedua-dua kes ini didalangi warga asing dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan suspek yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, ” katanya. – K! ONLINE











