GOPENG 13 April – Operasi khas mencari peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu, Mohammad Asyraf Hassan melibatkan 170 pegawai dan anggota polis termasuk dari Bukit Aman hari ini masih gagal menemukan mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, Operasi Khas Op Kesan itu bermula pada pukul 7 pagi di Kampung Pintu Padang iaitu lokasi mangsa disyaki hilang.
Katanya, operasi pencarian melibatkan kawasan 2.8 kilometer ke garisan perlumbaan Gopeng Ultra Trail yang membabitkan kawasan seluas 4.14 kilometer persegi.
“Kawasan tumpuan pencarian ialah di kawasan paya, lombong tinggal dan anak sungai yang dibantu Unit Anjing Pengesan.
“Operasi mencari berakhir di lokasi penamat Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurung pada pukul 2 petang namun tidak menemukan apa-apa petunjuk.
“Namun kita tidak kecewa kerana ini merupakan sebahagian daripada komitmen Jabatan Siasatan Jenayah Perak untuk membantu jabatan-jabatan lain yang bertungkus lumus mencari mangsa sejak awal lagi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pencarian tidak berakhir hari ini sebaliknya polis akan mengkaji elemen-elemen lain termasuk kajian faktor geografi serta maklumat-maklumat lain.
Beliau berkata, polisnya berharap Mohammad Asyraf masih selamat dan siasatan masih dijalankan di bawah kes orang hilang kerana tiada maklumat mangsa diculik dan tiada unsur jenayah.
Menjawab soalan kemungkinan mangsa dimakan binatang buas, Yahya berkata, pihak polis juga mengkaji perkara itu namun tiada rekod serangan binatang buas di kawasan ini.
“Polis yakin kawasan ini selamat. Walaupun ini kawasan hutan tetapi tiada rekod ancaman binatang buas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











