KUALA LUMPUR 13 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran enam pegawai kanannya berkuat kuasa 13 Mei depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran membabitkan Senior Asisten Komisioner (SAC) Institut Keselamatan Awam (Ipsom) Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, Datuk Dr. Laila Ali yang bertukar menjadi Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman.
Katanya, pertukaran itu adalah bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Shafien Mamat yang ditukarkan menjadi Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) jabatan yang sama.
“Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor, Asisten Komisioner Nordin Manan pula akan menyandang jawatan Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pahang menggantikan Asisten Komisioner Zaldino Zaludin.
“Zaldino akan menjadi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Selangor menggantikan Asisten Komisioner Mohammad Abd. Hamid yang akan menjawat jawatan Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, seorang lagi pegawai kanan yang akan bertukar adalah Ketua Pegawai Keselamatan Istana/Pengiring Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan di Jabatan Pengurusan Kelantan, Superintenden Hisham Mahmood yang akan menjawat jawatan sebagai Penolong Ketua Staf Koordinasi Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (Esscom) Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE











