JOHOR BAHRU 13 April – Datuk Osman Sapian berpegang teguh kepada keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor walaupun jika surat peletakan beliau ditolak oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, beliau juga perlu akur dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut menegaskan, peletakan jawatannya adalah dibuat dengan kerelaan sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.
“Saya tidak boleh nak baca hati Tuanku Sultan Johor, saya tengok keadaan macam mana.
“Tapi saya rasa dah firm (tetap dengan keputusan), saya kena akur juga dengan keputusan parti dan sebagainya. Apa-apa pun tunggulah saya tidak boleh nak menjawab dengan terperinci perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kempas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak menerima surat peletakan jawatannya.
Pada masa sama, ditanya apakah sebab beliau meletakkan jawatan, Osman menjawab: “Secara umum semua dah tahu, tak payahlah saya berikan butirannya.”
Sekiranya diminta mempertimbangkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas ini, Osman berkata, beliau belum memikirkan mengenainya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya tidak membincangkan soal jawatannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor, Pengerusi Bersatu Johor dan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam.
“Saya beranggapan saya tidak menerima apa-apa surat untuk saya meletak jawatan ketiga-tiga jawatan ini, jadi saya masih lagi dianggap masih memegang jawatan.
“Jadi saya ucap terima kasih sekiranya ada keputusan nanti, pada parti dan juga semua rakyat Johor serta barisan EXCO kerajaan negeri yang beri kerjasama kepada saya sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











