MANCHESTER 13 April – Paul Pogba akan tetap bersama Manchester United sekalipun khabar angin mengatakan pemain tersebut akan menyertai skuad kendalian Zinedine Zidane, Real Madrid, tegas Ole Gunnar Solskjaer.
Spekulasi pemain tengah kebangsaan Perancis itu akan berhijrah ke kelab gergasi Sepanyol tersebut mula diperkatakan selepas Pogba mengeluarkan kenyataan bahawa menyertai skuad Los Blancos merupakan ‘impian kepada setiap pemain’ biarpun mengumumkan dirinya gembira di Old Trafford.
Pogba cemerlang dalam tempoh beberapa minggu selepas Solskjaer mengambil alih sebagai pengurus sementara pada Disember lalu, dengan meledak lapan gol termasuk lima gerakan gol dalam 10 perlawanan pertamanya di bawah kendalian Solskjaer.
Solskjaer bagaimanapun sedar ada kemungkinan Real terdesak untuk mendapatkan Pogba, dengan cuba meningkatkan kempen publisiti dalam usaha menarik minat pemain tengah tersebut.
“Mereka mungkin sedang melakukan kempen, mungkn mereka menggunakan media, sukar untuk kami jangkakan, namun dalam perbincangan saya dengan Paul, dia selalu positif.
“Saya rasa tiada perubahan ketika saya bercakap dengannya. Dia menumpukan perhatian untuk beraksi dan berbangga dengan prestasinya,” kata Solskjaer yang dilantik menjadi jurulatih tetap pada bulan lalu.- AFP











