JAKARTA 13 April – Polis Indonesia menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes penemuan kertas undi bocor yang telah ditanda di Selangor kelmarin.
CNN Indonesia melaporkan, Ketua Biro Maklumat Awam di Divisyen Hubungan Awam Polis Indonesia, Dedi Prasetyo berkata, PDRM dan Komisi Pemilihan Umum (KPU) akan memeriksa lokasi penemuan serta meneliti semua dokumen berhubung kes berkenaan.
Selain itu, Dedi menjelaskan bahawa Bawaslu masih berperanan sebagai badan pengendali kes dan akan menilai sama ada kes tersebut sama ada ia melanggar undang-undang pilihan raya, jenayah undang-undang mahupun jenayah umum.
Namun, jelasnya, PDRM juga memainkan peranan berkaitan perundangan Malaysia susulan kejadian berlaku di negara itu.
Sebelum itu, satu video yang menunjukkan penemuan sejumlah kertas undi yang sudah ditanda di Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi tular dalam media sosial.
Kesemua kertas undi tersebut diletakkan dalam beberapa bungkusan plastik hitam. – AGENSI











