REMBAU 13 April – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula sebanyak 14 pusat mengundi yang membabitkan 53 saluran dibuka bermula dari pukul 8 pagi tadi.
Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi hari ini daripada jumlah tersebut manakala seramai 11 orang telah mengundi secara pos.
Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan,, calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dan dua calon Bebas iaitu, R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin.
PRK tersebut diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. – UTUSAN ONLINE











