KLANG – Sebuah kapal hidrografi baharu diperlukan bagi memudahkan pemetaan data perairan negara.
Pengarah Kanan Hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said berkata, ketika ini TLDM hanya mempunyai sebuah sahaja kapal hidrografi iaitu Kapal Diraja (KD) Perantau yang sudah berusia 20 tahun selepas KD Mutiara ditamatkan perkhidmatan.
Katanya, kekurangan itu mengakibatkan kebergantungan TLDM terhadap khidmat kapal hidrografi milik swasta yang diperoleh secara kontrak sewaan bagi melaksanakan tugas itu.
“Jika hanya bergantung kepada KD Perantau akan memakan masa 55 tahun untuk melengkapkan pemetaan perairan negara.
“Justeru, sebuah lagi kapal hidrografi moden dan canggih diperlukan kerana keluasan perairan kita adalah dua kali ganda daripada keluasan daratan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah pemetaan telah dilakukan oleh KD Perantau.
Najhan menegaskan, pemberian kapal itu bagaimanapun adalah bergantung kepada faktor kewangan negara.
“KD Perantau masih relevan untuk melaksanakan tugas hidrografi disebabkan budaya penyelenggaran ketat TLDM,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan pesakit kanser tahap empat, Azmeer Azaman, 13, ke kapal KD Perantau selepas kanak-kanak tersebut yang menyimpan hasrat untuk menaiki kapal perang. – K! ONLINE











