REMBAU 12 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera-jentera parti itu akan memastikan pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok.
Jelas Timbalan Pengerusi BN itu lagi, beliau yakin semua gerak kerja telah diatur supaya rakyat dapat keluar dan mengundi BN.
“Kepada jentera-jentera setiap peti undi, saya yakin dan percaya semua gerak kerja telah disusun dan diatur rapi untuk kita pastikan para pengundi dapat keluar dan mengundi BN esok hari, insya-Allah,” katanya selepas Program Munajat Perdana di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Mohamad, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus semasa tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK Rantau.

“Terima kasih kepada semua, rakan-rakan, sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat yang telah bertungkus-lumus selama 14 hari ini untuk menentukan kemenangan BN pada PRK Rantau.
“Saya amat terharu dan terhutang budi kepada semua. Bagi pihak keluarga terima kasih sekali lagi saya ucapkan,” katanya.
Menurut Mohamad, program munajat yang diadakan di Bilik Gerakan Utama BN itu adalah penutup kempen BN.
“Alhamdulillah malam ini kita bersama bersolat hajat memohon ke hadrat Allah agar dipermudahkan semua urusan yang akan ditempuhi dalam PRK Rantau esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE











