SATU masa dahulu, dalam kalangan peneroka Felda agak popular akronim LKTP, bermaksud ‘langkah kerajaan tipu peneroka’. Ia biasa digunakan untuk menyindir sebarang dasar atau komitmen kerajaan terhadap peneroka.
Namun mulai saat ini, LKTP mungkin boleh merujuk kepada ‘langkah kerajaan tolong peneroka’, hasil pelancaran Kertas Putih yang mengandungi pelbagai pelan dan strategi meringankan beban peneroka dan memulihkan keseluruhan organisasi Felda.
Mungkin ada pihak tidak menyukai kandungan Kertas putih itu disebabkan perbezaan pendirian politik.
Namun bagi Yang Dipertua Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF), Datuk Mohd. Fadzil Yunus, keadaan agak kritikal dengan Felda serta warga peneroka memerlukan panduan hala tuju yang baharu.
Memahami suasana politik akibat pertukaran parti pemerintah, Mohd. Fadzil tidak ingin melihat Kertas Putih itu dipolitikan, sama ada dijadikan usaha meraih sokongan politik mahupun wujud usaha-usaha cuba mengagalkan pelaksanaan kertas tersebut.
Mohd. Fadzil yang pernah menjadi Pengarah Besar Felda dari tahun 1989 hingga 2002, menganggap Kertas Putih itu yang turut menghuraikan kepincangan urus tadbir adalah fakta yang perlu diakui oleh semua pihak.
Beliau yang juga bapa kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai daripada PKR, Fahmi Fadzil, menyokong usaha-usaha Felda membeli hartanah dan aset baharu demi memastikan aliran kewangan Felda yang baik, namun perlu dilakukan tanpa penyelewengan.
Baginya, Felda berada dalam kedudukan terbaik sewaktu dipimpin Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali tetapi optimis Felda akan kembali kukuh menerusi Kertas Putih tersebut.
Namun jika mahu mengatakan Kertas Putih itu ditentang oleh pembangkang adalah tidak tepat.
Ini kerana sewaktu pembentangan Kertas Putih itu di Parlimen pada Rabu lalu, ia mendapat sokongan penuh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas memandangkan Felda akan mendapat suntikan RM6.23 bilion yang turut digunakan untuk menghapuskan dan menstruktur semula hutang peneroka.











