Undian awal di Malaysia diteruskan - Utusan Malaysia

Undian awal di Malaysia diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 12 April – Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia menegaskan tidak akan menunda proses pe­ngundian awal pemilihan umum (Pemilu) Indonesia di Malaysia walaupun berlaku dakwaan penemuan kertas undi bocor dan telah ditandakan di Selangor semalam.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya KPU, Viryan Aziz se­perti dilaporkan CNN Indonesia.

“Tidak ditunda, (dakwaan penemuan kertas undi bocor) perlu disahkan terlebih dahulu,” kata Viryan ketika ditemui di Pejabat KPU, Jakarta hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Undian awal Pemilu di Malaysia akan dijalankan Ahad ini.

PRIYO BUDI SANTOSO
PRIYO BUDI SANTOSO 

Terdahulu, Naib Ketua Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno, Priyo Budi Santoso mendesak KPU untuk menangguhkan sementara proses Pemilu di Malaysia selepas berlaku penipuan membabitkan kertas undi.

“Ya, saya yakin KPU akan mengambil langkah segera untuk menyelamatkan keadaan,” katanya.

Tambah Priyo Budi, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) perlu menyiasat isu tersebut dengan menyeluruh dan memastikan pihak-pihak yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman.

Dalam perkemba­ngan berkaitan, pe­nemuan kertas undi itu dilihat memberi kesan buruk kepada Parti NasDem.

Menurut Ketua Dewan Pimpinan Pusat (DPP) NasDem, Willy Aditya, slogan parti berkenaan iaitu ‘Jangan Main Api, Nanti Terbakar Diri Sendiri’ ditemukan pada kertas undi terbabit.

Aditya seperti dipetik oleh Tribunnews.com sebagai berkata, wujud pelbagai tanda tanya mengenai kertas undi tersebut.

“Persoalannya ialah bagaimana kertas undi yang dalam pe­ngawasan Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) dan anggota ke­selamatan di Kedutaan Indonesia boleh bocor dalam kuantiti yang besar dan di luar bidang kuasa kedutaan,” jelasnya.

Calon Presiden (Capres) Indonesia nombor dua, Prabowo turut menyinggung segelintir pihak yang cenderung untuk ‘mengatur’ demokrasi.

“Ada yang cakap Pemilu dijamin jujur, bersih dan adil. Terkejut, belum mula Pemilu sudah ada penipuan di luar negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kebocoran kertas undi itu kepada Bawaslu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini