JOHOR BAHRU 12 April – Barisan kepimpinan pemuda UMNO dan Pas negeri ini mengadakan perjumpaan dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pelangi di sini semalam.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Md Shah berkata, pertemuan bersama 26 Ketua Pemuda Bahagian UMNO dan dua Ketua Pemuda PAS yang berlangsung selama dua jam itu berjalan secara harmoni.
Menurutnya, pertemuan itu tertumpu kepada pandangan serta lontaran idea berkenaan pembangunan dan hala tuju Johor.
“Dalam pertemuan itu juga, Tunku Ismail turut menyuarakan kesudian dan keterbukaan beliau untuk bertemu sesiapa sahaja yang mahu berbincang serta menyuarakan pandangan, khususnya soal pembangunan negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pemuda Pas negeri, Jawahir Amin.
Mohd. Hairi berkata, pada pertemuan itu, pemuda UMNO dan Pas negeri turut menegaskan asas perjuangan mereka yang sama iaitu menegakkan agama, bangsa dan negara.
Selain itu, tambahnya, mereka turut menyatakan kepada Tunku Ismail bahawa mereka bersama-sama dengan beliau dalam menegakkan kedaulatan Institusi Diraja terutama di negeri ini. – UTUSAN ONLINE











