[VIDEO] Kula Segaran dakwa kenyataannya diputar belit - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kula Segaran dakwa kenyataannya diputar belit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 April – Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran mendakwa kenyataannya dalam video yang tular hari ini disalah tafsir.

Beliau merujuk kepada rakaman kempennya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam yang dikecam ramai selepas kandungannya didakwa bersifat perkauman.

“Ucapan saya di Rantau telah diputar belit dan disalah tafsir, seperti biasa. Penghasut maya (troll) Barisan Nasional (BN) bekerja lebih masa agaknya. Saya bercakap kepada orang India yang telah meninggalkan BN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai yang gembira mendengar apa yang diperkatakan dalam ucapan saya. Saya tak pernah mengecil-ngecilkan kaum lain,” katanya melalui akaun Twitter miliknya.

Dalam video itu, Kula meminta kepada pengundi berbangsa India di DUN Rantau supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dalam PRK DUN Rantau esok.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, Streram mempunyai peluang yang baik kerana DUN Rantau mempunyai kira-kira 28 peratus pengundi India dan mereka perlu mengundi Streram bagi memastikan kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Video itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang berharap terjemahan sari kata dalam video itu salah memandangkan Kula Segaran bercakap dalam bahasa Tamil.

Kula Segaran membalas ciapan Khairy dengan membangkitkan ucapan Khairy dalam Perhimpunan Agung UMNO 12 tahun lalu.

Dalam pada itu, Kula Segaran juga mendakwa hanya mereka yang berminda sempit akan membantah kenyataan beliau.

“Hanya yang berminda sempit dan mempunyai kepentingan akan tidak bersetuju dengan saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini