PELABUHAN KLANG 12 April – Hasrat kanak-kanak penghidap kanser tahap empat, Azmeer Azaman, 13, untuk menaiki kapal perang tercapai hari ini apabila ia ditunaikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dia yang meminati serta bercita-cita mahu menjadi tentera dilihat tersenyum dan ceria ketika didukung bapanya, Azaman Moksimon, sebaik sahaja mereka memasuki pusat kawalan kapal hidrografi, KD Perantau.
Malah, walaupun dalam serba kepayahan akibat kanser tulang dan kebocoran tulang, Azmeer tetap berusaha untuk memegang panel kawalan kapal serta beberapa senjata api antaranya GMPG, raifal dan pistol.
“Suka,” kata Azmeer ringkas tetapi penuh mendalam maksudnya disusuli senyuman ketika ditanya tentang perasaan selepas hasratnya ditunaikan di jeti Pusat Hidrografi Nasional, di sini hari ini.
Menaiki kapal perang adalah impian kedua Azmeer selepas impian pertamanya menaiki kereta Nissan GTR tercapai pada tahun lalu.
Hadir mengiringi Azmeer dan keluarganya adalah Pengarah Kanan Hidrografi, Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said, Pengawai Memerintah KD Perantau, Komander Azrul Nezam Azri dan Pengasas Ziarah Sahabat Kanser, Zaki Yahya.
Dalam pada itu, ibu Azmeer, Musrifah Ahmad berkata, ada banyak perubahan emosi berlaku ke atas anaknya selepas impiannya ditunai, meskipun ia tidak boleh membantu dari segi proses rawatan secara fizikal.
“Jika dulu Azmeer mengalami kemurungan teruk tetapi selepas impian menaiki kereta Nissan GTR tertunai dia mula ceria dan hari ini, Azmeer bertambah ceria kerana dia memang meminati bidang ketenteraan.
“Dalam kes anak saya ini, memang kanser yang dialaminya sudah tiada ubat tetapi keceriaan emosi itu amat penting dan saya amat berterima kasih kepada TLDM kerana menunaikan impian anak saya ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











