KUALA LUMPUR 12 April – Public Investment Bank menaik taraf saham Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada saranan ‘beli’ berbanding ‘neutral’ sebelum ini.
FIrma penyelidikan itu berkata, berdasarkan harga pasaran semasa, dividen TNB pada kadar empat peratus dilihat menarik dan pihaknya mengekalkan unjuran pendapatan TNB pada harga sasaran RM14.12 berasaskan aliran tunai diskaun.
Katanya, walaupun sentimen pasaran semalam disebabkan oleh berita penjualan saham oleh Khazanah Nasional Bhd., asas TNB kekal tidak terjejas dan oleh itu pihaknya melihat penyusutan harga saham TNB adalah peluang baik untuk mengumpulkannya.
“Sementara rangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) akan membantu TNB untuk kembali mengawal selia aset-aset, kami percaya keuntungan masih boleh ditingkatkan menerusi kecekapan kos dan pulangan lebih tinggi dalam aset-aset bukan dikawal selia,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
TNB melaporkan Khazanah telah menjual 85 juta pegangan sahamnya, menyebabkan saham syarikat utiliti itu ditutup empat peratus lebih rendah semalam.
Saham itu mewakili 1.5 peratus kepentingannya dalam TNB dan penjualan itu menyaksikan pegangan saham Khazanah dalam syarikat gergasi utiliti itu menyusut kepada 27.27 peratus daripada 28.76 peratus sebelumnya.
Menurut Bloomberg, penjualan saham oleh Khazanah adalah bernilai RM1 bilion pada harga RM12.33 sesaham, mewakili dua peratus diskaun untuk ditutup pada harga akhir RM12.58.
“Walaupun kami percaya penjualan itu adalah sebahagian daripada pelupusan nilai aset oleh Khazanah, TNB kekal sebagai pemegang utama dana kekayaan kedaulatan Malaysia itu.
“Berdasarkan pegangan TNB dalam pasaran telah berkurangan sebanyak RM18.5 bilion atau 21.2 peratus tahun ke setakat ini, berbanding kerugian dalam hasil sebanyak RM640 juta bagi tahun kewangan 2018, kami berpendapat penjualan itu adalah pada kadar tinggi,” katanya.
Mengenai semakan tarif elektrik akan datang pada Jun 2019, Public Investment Bank berkata, ia percaya kurang tekanan untuk menaikkan asas tarif dalam kalangan pelanggan rumah kediaman berikutan kejatuhan harga arang batu.
“Apa pun, kami percaya masih ada baki selepas memasukkan hasil lebihan dikutip pada 2018 dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang akan digunakan untuk subsidi surcaj mana-mana pelanggan rumah kediaman,” katanya.
Pada 10 pagi ini, saham TNB naik 24 sen kepada RM12.30 dengan 1.1 juta saham diniagakan. Saham TNB hari ini ditutup pada RM12.28, meningkat 0.220 sen.
HABIS











