Gagal carum Perkeso pekerja, restoran nasi kandar dikompaun - Utusan Malaysia

Gagal carum Perkeso pekerja, restoran nasi kandar dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 12 April – Sebuah restoran nasi kandar di sini dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana gagal mendaftarkan dan membayar caruman seorang pekerjanya yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas terbabit dalam kemalangan.

Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown, Rafidah Abd. Rahim berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan pihaknya mendapati pekerja berkenaan tidak mendaftar dengan majikannya sejak 15 tahun lalu.


Tambah beliau, kegagalan pengusaha restoran itu mendaftar dan membayar caruman pekerja berkenaan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Memuatkan artikel berkaitan…


Malah, katanya, pengusaha restoran itu juga gagal mematuhi Peraturan 17(1) (2) Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 apabila tidak memaklumkan atau melaporkan kemalangan yang berlaku melibatkan pekerja tersebut kepada Perkeso.


“Berdasarkan aduan oleh waris serta maklumat yang diperoleh Skuad Perkeso Prihatin Georgetown, kita telah menziarahi serta melihat sendiri keadaan pekerja berkenaan yang kini sedang dirawat di HPP.

“Mangsa yang merupakan orang berinsurans disahkan mengalami kecederaan patah rusuk kiri, cedera buah pinggang serta turut mengalami kecederaan dalaman,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Rafidah, selain kompaun, pengusaha restoran nasi kandar itu juga diarahkan membayar tunggakan caruman pekerja berkenaan sejak mula bekerja sehingga tarikh kemalangan berjumlah RM8,995 berserta fedah caruman lewat bayar berjumlah RM 9,955. 

Katanya, keseluruhan yang perlu dibayar majikan akibat kegagalan mendaftar dan membayar caruman pekerja berkenaan adalah sebanyak RM22,950.

“Sehubungan itu, kita memberi ingatan dan amaran kepada semua pengusaha nasi kandar yang belum berdaftar dan membayar caruman pekerja mereka untuk segera berbuat demikian. 


“Caruman itu bukan sehaja kepada pekerja tempatan, malah semua pekerja asing yang sah dan bekerja di restoran nasi kandar wajib berdaftar dengan Perkeso bermula 1 Januari lalu,” katanya.


Dalam masa sama, beliau menyeru pekerja di restoran nasi kandar membuat semakan pendaftaran mereka dan sekiranya mendapati belum berdaftar, boleh membuat aduan kepada Perkeso untuk tindakan susulan.

“Dengan adanya perlindungan di bawah Skim Perlindungan Perkeso ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pekerja yang ditimpa bencana tetapi juga waris jika melibatkan kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini