[ANALISIS] Streram yang dinilai pengundi, bukan Anwar - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Streram yang dinilai pengundi, bukan Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI kempen PRK (Pilihan Raya Kecil) Rantau atau PD (Port Dickson)?” soal seorang petugas media selepas mendapati program melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih banyak berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram.


Pada awal kempen, Streram begitu aktif bertemu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu. Kadangkala satu hari enam atau tujuh program dihadirinya.


Bagaimanapun, sejak seminggu lalu, kempen pakar bius itu dibayangi bosnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan lagi rahsia bahawa itu adalah strategi Presiden PKR tersebut untuk menggempur Rantau.


Beliau mungkin menyedari bahawa aura Streram tidak cukup kuat untuk menarik pengundi, terutama di kawasan Melayu.

Pakar bius itu tidak fasih berbahasa Melayu, malah bukan seorang penceramah yang baik.


Sebab itu Anwar mengambil alih pentas dan strategi itu nampak berkesan menarik perhatian orang ramai.

Anwar juga terpaksa mengumpan pengundi Rantau dengan janji memajukan DUN itu seiring dengan pembangunan Port Dickson.

Tidak cukup dengan itu, PKR juga mendapatkan bantuan pakar strateginya, Rafizi Ramli dalam tiga hari terakhir kempen.

Naib Presiden PKR itu datang dengan misi menyerang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam isu wang RM10 juta.

Streram walaupun hadir dalam ceramah tetapi semakin tenggelam. Beliau mengulang-ulang kenyataan yang pernah dibuatnya dalam setiap ceramah, seolah-olah terikat dengan skrip.


“Saya Dr. Streram, pakar bius dan pernah menjadi sukarelawan di Afghanistan,” antara intipati ucapan pendek yang biasanya mengambil masa kira-kira enam minit.

Sudah tidak ada lagi cerita dan azamnya seperti pada awal-awal dulu.

Dalam pilihan raya semua perkara berkaitan calon akan diambil kira oleh pengundi.

Keterampilan Streram itu juga pasti akan dinilai oleh para pengundi Rantau yang akan mengundi esok.

Pengundi akan bertanya diri mereka, wajarkah mereka mengundi pakar bius itu menggantikan Tok Mat? Mampukah Streram berhujah di DUN sebaik Tok Mat?. 


Ketika itu hebatnya pidato Anwar atau Rafizi sudah tidak lagi relevan. Penilaian akan dibuat terhadap batang tubuh Streram.

Orang Rantau mahu memilih calon untuk mewakili mereka di Rantau, bukannya menumpang wakil rakyat kawasan lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini