KAJANG – Seorang Datin didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk tanpa kebenaran ke dalam kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bangi di sini Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Nabila Sanusi, 45, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan keatasnya dibacakan dihadapan Majistret Mazilah Manap.
Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan curang menceroboh masuk tanpa kebenaran ke dalam kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bangi yang merupakan harta milik Datuk Sri Ismail Abdur Rahman, 44 pada 31 Mac lalu pukul 10 malam.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman kemudian menawarkan jaminan RM3,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Nazrul Hadi merayu jaminan dikurangkan.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mei depan sebagai sebutan kes. – K! ONLINE











