KUCHING 12 April – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas minuman keras bernilai RM516,000 dalam Op Libas daripada dua buah lori yang ditahan di Jalan Lanang, Sibu, di sini hari ini.
Portal berita Utusan Borneo melaporkan, Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, sebanyak 2,300 kotak minuman keras dirampas.
“Serbuan dilakukan hasil intipan dan risikan anggotanya yang berjaya mengekori dua lori dari Jalan Lanang, Sibu.
“Intipan dari unit risikan dilakukan dengan rapi bersama pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula dari Sibu sehinggalah tangkapan dilakukan di Serian apabila lori tersebut berhenti di tepi jalan,” katanya.
Menurut Kok Chin, pasukan serbuan memeriksa dua lori tersebut yang dijadikan sebagai kargo hantaran dan menemukan 2,300 kotak minuman keras yang dipercayai mengelak membayar cukai kastam.
Jelasnya, empat lelaki tempatan terdiri daripada dua pemandu dan dua kelindan berusia 22 hingga 33 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.
Tambahnya, rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE











