PUTRAJAYA 10 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa orang kenamaan untuk memberi keterangan berhubung dua laporan polis yang dibuat oleh Felda semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, terdapat laporan baharu yang dibuat oleh Felda dan beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melakukan siasatan segera.
“Ada laporan baharu berkaitan Felda dibuat dan saya telah mengarahkan JSJK melakukan siasatan dengan segera. Kertas siasatan juga telah dibuka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Apac Policetech di sini, hari ini.
Semalam, Felda membuat laporan polis berasingan berhubung dakwaan salah laku dalam dua transaksi pengurusan sebelum ini yang mengakibatkan kerugian besar kepada lembaga pembangunan tanah persekutuan itu.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima dua laporan polis berhubung siasatan kes berkenaan yang dilaporkan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Othman Omar.
Ujarnya, dua laporan tersebut dibuat berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLBV) dan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam urusan jual beli saham oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menjawap soalan pemberita sama ada akan ada orang kenamaan dipanggil berhubung dua kes itu, Mohamad Fuzi berkata, adalah normal sekiranya beberapa orang kenamaan dipanggil untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.
Mohamad Fuzi berkata, polis telah memberikan kerjasama penuh dalam proses siasatan melibatkan kehilangan dua aktivis sosial berkenaan dan dakwaan yang mengatakan polis lambat untuk menyiasat kes itu juga tidak betul.
“Saya tidak fikir siasatan itu lewat sepertimana yang didakwa. Kita kena ingat, bila siasatan berkaitan orang hilang ini dibuat ada yang kita buka terus kertas siasatan dan ada yang kita buka siasatan dalaman.
“Tetapi kalau kita fikir ada unsur-unsur jenayah dan sebagainya kita akan terus jadikan kepada kertas siasatan dan kelewatan ini tidak berlaku. Segala apa yang diperkatakan oleh Suhakam merupakan dakwaan dan tohmahan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu katanya, polis juga akan merujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu berhubung cadangan Suhakam untuk menukar status kes kehilangan dua aktivis sosial tersebut kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu.- UTUSAN ONLINE











