REMBAU 10 April – Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau lebih memberi tumpuan kepada perjuangan parti itu dalam membela dan menjaga kepentingan rakyat.
Video oleh UTUSAN ONLINE
Calon BN bagi PRK itu berkata, cakap-cakap bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri jika BN kembali sebagai kerajaan Pusat adalah sekadar gurauan oleh para pemimpin BN semasa berkempen untuk beliau dalam PRK itu.
“Saya tidak pernah terfikir untuk jadi Perdana Menteri. Itu cerita orang masa ceramah, sekadar nasi tambah (untuk memeriahkan ceramah).
“Saya minta rakan-rakan berhenti daripada berkata demikian kerana ia boleh mengundang spekulasi tidak sihat,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin BN yang menimbulkan perkara itu dalam kempen pilihan raya tersebut.
Antaranya, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam.
Sementara itu, Mohamad memberi naratif yang lebih mudah bagi memberi kefahaman kepada orang ramai berkaitan tuduhan beliau mempunyai sebuah banglo mewah di Seremban.
Jelasnya, beliau tidak mempunyai pertalian darah Minang manakala rumah yang dipaparkan oleh media elektronik itu mempunyai reka bentuk Minangkabau.
“Bagaimana pula saya hendak bina rumah mengikut reka bentuk yang tidak mempunyai kaitan dengan saya.
“Rumah Negeri Sembilan mempunyai reka bentuk tersendiri yang sama seperti rumah keluarga saya di kampung,” ujarnya.
Beliau menganggap perbuatan mengaitkan beliau dengan banglo berkenaan adalah taktik kotor bertujuan memusnahkan kewibawaannya sebagai calon PRK berkenaan. – UTUSAN ONLINE











