12 Maut: Ada dakwaan bas berlumba - Utusan Malaysia

12 Maut: Ada dakwaan bas berlumba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 April- Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa bas pekerja yang terjunam ke dalam longkang dan mengorbankan 12 nyawa di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASkargo pada Ahad lalu berlumba dengan sebuah bas lain.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, dakwaan itu dibuat seorang penumpang yang terselamat ketika memberi keterangan kepada polis

Beliau berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran termasuk melihat kepada bukti lain bagi melihat sama ada betul atau tidak bas itu berlumba.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan melakukan siasatan terperinci terhadap dakwaan berkenaan, buat masa ini rakaman CCTV kurang jelas dan kita akan cari lagi bukti lain termasuk melihat pergerakan bas berkenaan sebelum memasuki Bulatan Minyak.

“Hasil keterangan saksi, kita mendapati bas itu dibawa dengan laju, kita juga akan melihat sama ada bas tersebut mengalami kerosakan kerana tiada kesan brek di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Menurut Zulkifli, bas pekerja itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dalam masa terdekat untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, buat masa ini kenderaan itu masih ditempatkan di IPD KLIA.

“Buat masa ini 14 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan. Untuk bas, kita kena periksa kalau ada masalah kegagalan mekanikal. Kita akan hantar ke Puspakom untuk melihat sama ada terdapat masalah pada pada brek atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas mengenai hasil bedah siasat terhadap pemandu bas berkenaan, Zulkifi berkata, pihaknya masih belum menerima hasil bedah siasat daripada Hospital Serdang dan perkembangan baharu mengenainya akan dimaklumkan nanti.

Pada Ahad lalu, media melaporkan sebanyak 12 mangsa maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASkargo di KLIA.

Kejadian yang berlaku pada pukul 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, empat orang wanita warga Indonesia serta seorang warga tempatan yang merupakan pemandu bas pekerja berkenaan.

Ketika kejadian, bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke MASkargo selepas mengambil 43 pekerja dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan pekerja berkenaan sepatutnya masuk bekerja untuk syif 12 tengah malam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini