GOPENG 9 April – Abang kepada peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan kesal dengan tindakan segelintir pengamal perubatan menggunakan ritual pelik berupa penyembahan dan pemujaan dalam pencarian adiknya yang hilang sejak 23 Mac lalu.
Mohd Zahiruddin Hassan, 35, berkata, disebabkan tindakan itu pihak pengurusan Gua Tempurung telah menghentikan bantuan penggunaan tapak perkhemahannya yang menjadi satu-satunya tempat bagi mereka berkongsi maklumat, solat serta istirahat setelah penat meredah hutan, sungai dan paya.

“Tindakan pengamal perubatan yang tidak bertanggungjawab ini telah memberi kesan buruk kepada unit sukarelawan yang datang dari segenap pelosok tanah air termasuk Sabah dan Sarawak untuk turut serta dalam misi pencarian.
“Kami bagi pihak keluarga, sukarelawan serta seluruh warga Gopeng berasa kesal dengan tindakan segelintir pengamal perubatan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam laman sosial Facebooknya, hari ini.
Sementara itu, Mohd Zahiruddin ketika dihubungi berkata, pencarian masih dilakukan dengan jasa baik bantuan bomba serta orang kampung.
Menurutnya, ibunya sudah bertolak pulang semalam kerana perlu melakukan rawatan.
“Bagaimanapun, petunjuk baharu masih tidak dapat diperoleh sehingga ke hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











