KUALA LUMPUR 9 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Komuniti Hijau, Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati, hari ini melancarkan Projek Masjid Hijau dan Perpustakaan Harun Al-Rasyid.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail dan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Prof. Madya Dr. Johari Surif.
Yang turut hadir, Penyelaras Projek Teknikal Masjid Hijau, Dr. Aznah Nor Anuar; Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Ar. Hamka Abu Dardak dan Pengerusi Biro Pelajaran dan Muslimat Masjid Al-Muttaqin, Datin Dr. Raja Mazuin Raja Abdul Aziz.
Projek Masjid Hijau merupakan kerjasama strategik antara UTM dan Masjid Al-Muttaqin dalam menghasilkan projek hijau atau melestarikan alam sekitar iaitu Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (Spah).
Johari ketika berucap dalam majlis itu berkata, projek Spah yang dimulakan pada Januari tahun lalu, kini bukan sahaja boleh digunakan untuk kerja-kerja cucian, malah untuk berwuduk dan diminum.
“Saya berharap agar projek ini dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kepentingan kelestarian alam.
“Saya yakin projek Masjid Hijau ini dapat menyumbang kepada penjimatan air bersih dan dapat menjamin bekalan sumber air secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Ajib berkata, projek itu merupakan usaha murni kedua-dua pihak dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kelestarian alam.
“Diharapkan agar projek Masjid Hijau ini dapat menjadi contoh kepada masjid-masjid lain dan memberi aspirasi kepada masyarakat setempat.
“Inisiatif pihak masjid melancarkan Perpustakaan Harun Al-Rasyid juga sangat baik kerana ia dapat mendokong semua program ilmu di Masjid Al-Muttaqin termasuk aktiviti penyelidikan serta pendidikan yang diperlukan bagi merealisasikan projek Masjid Hijau ini,” ujarnya.
Ikuti artikel penuh Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan dalam ruangan Mimbar, Mega, dalam akhbar Utusan Malaysia (10 April 2019), esok. – UTUSAN ONLINE











