Polis sangkal wujud kongsi gelap - Utusan Malaysia

Polis sangkal wujud kongsi gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 April – Polis menafikan wujud elemen kongsi gelap dalam kawasan pasar borong di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini, pihaknya tidak pernah menerima laporan polis mengenai penglibatan kongsi gelap di kawasan terbabit dan siasatan juga telah dilakukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kegiatan di pasar borong berkenaan lebih kepada perbuatan segelintir individu yang mengambil kesempatan ke atas peniaga-peniaga.

“Kita dapati individu berkenaan melakukan pemerasan dengan cara menyewakan kanopi atau tapak di kawasan tersebut dengan kadar sewa antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

“Pihak Polis juga mendapati ada pihak tertentu yang menjalankan kutipan terhadap peniaga sebanyak RM40 sehari dan sekiranya peniaga tidak bayar, pihak tersebut mengugut akan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas laporan berita sebuah akhbar tempatan yang bertajuk ‘Kongsi gelap kuasai pasar borong,’ semalam.

Mazlan memaklumkan, susulan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki terlibat dengan unsur pemerasan ke atas beberapa peniaga sejak dua tahun lalu.

“Selain itu, kita juga mengesan dua suspek yang turut menjalankan aktiviti sama di kawasan tersebut dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis yang berdekatan untuk menyalurkan maklumat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini