JAKARTA 9 April – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Madina Institute Amerika Syarikat (AS) hari ini menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan Knowledge Link Intercultural School (KLIS), sebuah institut pendidikan antarabangsa berpengkalan di Indonesia.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak itu diadakan sempena Forum Antarabangsa Mengenai Islam, Pendidikan dan Keamanan Sejagat yang berlangsung di sini.
Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi berkata, di bawah perjanjian tersebut, pihaknya akan membekalkan kurikulum pendidikan Islam dan akan digabungkan dengan program pendidikan antarabangsa KLIS yang sudah mendapat pengiktirafan Oxford International.
“Melalui persefahaman ini, para pelajar lepasan KLIS juga boleh melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di USAS, dan pihak kami boleh menyediakan biasiswa kepada mereka yang layak.
“Pada masa sama para pensyarah USAS juga akan memantau pelaksanaan kurikulum yang dijalankan oleh KLIS,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam majlis itu Nordin menandatangani perjanjian bagi pihak USAS manakala Madina Institute diwakili oleh Pengarahnya, Dr. Sheikh Muhammad Yahya Al-Ninowy sementara KLIS pula oleh Presiden Direktor PT K-Link Indonesia, Datuk Dr. Md. Radzi Saleh.
Hadir sama Pengarah Kelayakan Serantau Oxford International, Matthew Bennett.
Nordin berkata, Madina Institute pula akan mengembangkan lagi pendidikan Islam di samping menyediakan tempat kepada pelajar KLIS melanjutkan pengajian baik di kampusnya di Amerika Syarikat mahupun di Afrika Selatan.
Sementara itu Md. Radzi berkata, pihaknya memilih Indonesia sebagai perintis pendidikan antarabangsa kerana melihat negara ini mempunyai potensi yang lebih besar di samping kesedaran ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka memperoleh pendidikan untuk keperluan dunia dan akhirat.
“KLIS akan membantu melahirkan anak-anak Indonesia yang boleh menguasai ilmu duniawi termasuk penguasaan dalam bahasa Inggeris tanpa mengabaikan pendidikan keislaman.
“Sekolah ini baru dibuka dan kami menawarkan pendidikan di peringkat menengah dan kita berharap ia dapat berkembang lebih jauh selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











