MEMPUNYAI personaliti yang sangat menyenangkan, individu bergelar Dr. Nazmi Nordin, 31, ini, tanpa sedar bagai menghadirkan aura istimewa bagi sesiapa sahaja yang berdamping dengannya.
Barangkali kerana keramahan dimiliki pensyarah dan juga penyelidik di Gulf Medical University, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ini ketika menyapa, maka dia mudah diingati selain diperelokkan lagi dengan kerendahan hati dan budi.
Mengakui dirinya gemar bercampur dengan orang yang berfikiran positif, kata Dr. Nazmi, sejak dahulu berpandangan, jika seseorang itu tidak berfikiran sempit, ia dapat membuka ruang perspektif lebih luas. Nyata ia memberi kesan positif terhadap diri.
Sifat sentiasa ingin mengejar ilmu juga adalah salah satu faktor menjadikan dirinya fokus dengan apa yang diingini kerana baginya tidak semua orang berdaya tahan meraih apa yang disasarkan dalam hidup.
“Saya datang daripada sebuah keluarga yang mementingkan pelajaran. Bagi kami, ‘kita bukan siapa-siapa’ jika tidak memiliki ilmu.
“Sejak zaman persekolahan, segala apa dilakukan, saya akan rujuk pada ibu dan ayah terlebih dahulu. Baik dari segi dengan siapa saya berkawan, pergi kemana-mana atau apa saja, saya pasti akan memaklumkan kepada orang tua asalkan saya tahu mana baik dan buruk.
“Sebab itulah, ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), orang tua saya beri lampu hijau ketika saya memberitahu ingin terlibat dalam dunia peragaan. Tetapi keizinan keluarga bersyarat. Saya tidak boleh abaikan pelajaran,” katanya mengimbau kenangan bergelar model suatu waktu dahulu.
Usai tamat Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan pada 2013, Nazmi memasang misi mahu menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD) sebelum usia menjengah 33 tahun.
Berjaya meraih apa yang dihajati, Dr. Nazmi membuktikan jika seseorang itu tahu apa yang dirinya mahu gapai, semua rintangan atau kepayahan pasti akan mendatangkan hasil di kemudian hari.
“Ramai mempersoalkan bila saya buat keputusan untuk sambung belajar ke peringkat PhD dan di luar negara. Antaranya tak rasa rugi ke sambung belajar? Kawan sebaya dah ada kerja tetap, dapat merasa gaji sendiri, ekonomi dah stabil, ada keluarga, ada kereta ada rumah. Tapi saya masih belajar dan mengharapkan duit biasiswa untuk sara hidup.
“Saya sentiasa berpegang pada kata-kata: ‘Habiskan apa yang anda mulakan’ dan jangan berada dalam situasi yang tidak membantu anda berkembang baik secara mental, kerohanian dan emosi.
“Saya buat semua ini untuk diri sendiri. Bagi membanggakan ibu dan ayah serta menjadi contoh terbaik buat adik-adik. Jangan peduli apa orang kata kerana kita tidak mampu memuaskan hati semua setiap masa,” katanya.
Bergelar pensyarah dan pendidik, Dr. Nazmi mahu melahirkan lebih ramai para siswazah profesional dan mempunyai sisi peribadi yang mulia di samping menjalankan penyelidikan seiring dengan inovasi.

SUDAH BIASA MERANTAU
Anak sulung daripada empat beradik ini membuka cerita, sejak tamat tingkatan lima, dia sudah belajar hidup merantau lantaran mengejar ilmu.
Kemudiannya menyambung pengajian di Hong Kong (HK) selama tiga tahun sebelum meraih PhD Julai lalu, Dr. Nazmi menerima tawaran bekerja sebagai pensyarah di UAE.
“Saya seorang yang sangat rapat dengan keluarga.Jadi apabila perlu merantau belajar dan mencari rezeki, tentulah masa dengan keluarga itu amat terhad.
“Sebab itu kalau ada masa terluang, saya akan pulang ke kampung dan manfaatkan masa yang ada sebaiknya bersama keluarga.
“Apabila berada jauh di negara orang ni, apa yang boleh saya lakukan adalah dengan menghubungi keluarga setiap hari untuk bertanya khabar walau sibuk mana pun,” katanya.
Menyedari mungkin ada yang menyimpan hasrat untuk bergelar seorang doktor falsafah sepertinya suatu hari nanti, Dr. Nazmi ada nasihat sementelah begitu memahami bagaimana peritnya untuk mencapai gelaran itu.
“Saya tak minta adik-adik untuk menjadikan doktor sebagai cita-cita utama. Apa saja cita-cita kalian, jangan sesekali abaikan pelajaran. Nak jadi instafamous ke, youtuber ke, atau pempengaruh media secara amnya, tolong jangan abaikan pelajaran.
“Saya sama sekali tidak bersetuju dengan ungkapan, ‘Oh tak apalah kalau kita gagal SPM, masih boleh hidup mewah, ada yang sayang, ramai peminat’.
“Kepada yang berniat mahu sambung belajar hingga ke peringkat PhD, jangan mudah putus asa. Kuatkan semangat kerana ia adalah sebuah pengalaman yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya hidup merantau di negara orang, kata Dr. Nazmi, selama tiga tahun berada di HK, keadaan amat sukar buat dirinya terutama pada fasa tiga bulan awal, apalagi HK bukan sebuah negara Islam.
Dek susah mendapatkan makanan halal di restoran atau kedai makan, dia mengakui memaksa diri belajar memasak, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Selain itu, wajib berada di hospital mengikut waktu pejabat, untuk menunaikan solat dia akan ke bawah tangga setiap kali masuk waktu.
“Perlahan-lahan saya cuba sesuaikan diri di HK. Orang di sana, segalanya nak cepat dan mereka sangat mementingkan aspek ketepatan waktu, bahkan kerja pun kena tip top.
“Dari segi perbelanjaan hidup, saya boleh katakan di HK semuanya mahal tetapi Alhamdulillah, biasiswa yang kerajaan HK tawarkan kepada saya mencukupi. Saya juga dapat ramai kawan dari pelbagai negara,” katanya.
Usai tamat belajar di HK pada Julai 2020, Dr. Nazmi ditawarkan bekerja sebagai pensyarah Pengimejan Perubatan Universiti Perubatan Gulf, Ajman, UAE pada September lalu dan menetap di sana sehingga sekarang.
“Memandangkan UAE juga merupakan sebuah negara Islam seperti Malaysia, saya tidak berdepan sebarang kesukaran lagi.
“Kalau di HK selalu makan Chinese Cuisine, di sini pula saya kena tukar selera dengan makanan timur tengah pula. Apa pun, memang saya akan masak sendiri daripada makan di luar,” katanya
ANGKASAWAN NEGARA JADI INSPIRASI
Menjadikan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai idola, Dr. Nazmi memberitahu, beliau mengagumi cara Dr. Sheikh Muszaphar menjaga hubungan dengan Allah, walaupun figura itu dirasakan hampir memiliki segala-galanya.
“Apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, setiap urusan dalam kehidupan kita akan dipermudahkan dan berjalan lancar. Percayalah!
“Selain itu, saya juga mengagumi peribadi Dr. Sheikh Muszaphar, yang sangat merendah diri termasuk cara beliau menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” katanya.
Selain Dr. Sheikh Muszaphar, kerjaya ibu dan ayahnya sebagai pendidik juga bagai menjadi darah dagingnya. Kerana itu dia sedaya upaya mahu meraih dan mencurah ilmu buat generasi muda.

TRIVIA
» Berjaya menghasilkan 15 penyelidikan dan diterbitkan dalam jurnal-jurnal tertentu semasa tiga tahun berada di Hong Kong.
» Merupakan juara bagi kategori Mister Planet 2015.
» Pernah bergelar model sebelum terjun dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
» Antara drama lakonannya ialah Tundukkan Playboy Itu, Seindah Takdir Cinta, Amsyar, Mr. Secret Admirer dan Paparicky.
Latar belakang Pendidikan :
• Sek. Keb. Seri Perlis, Perlis (1996-2001) – UPSR 5A
• Sek. Keb. Kayang, Perlis (2001)
• Sek. Men. Sains Tuanku Syed Putra, Perlis (2002-2006) – PMR 8A, SPM 6A1,2A2,1B3
• UiTM Jalan Othman (2007-2010) – Diploma Pengimejan Perubatan (Penerima Anugerah Naib Canselor)
• UiTM Puncak Alam (2010-2013) – Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kelas pertama)
• Universiti Putra Malaysia (2014-2016) – Master Sains (Pengimejan Molekul/Perubatan Nuklear)
• The Chinese University of Hong Kong, Hong Kong (2017-2020) – PhD in Imaging & Interventional Radiology
• Gulf Medical University, UAE (September 2020 hingga sekarang) –pensyarah/penyelidik










