KUANTAN – Pemandu serta kelindan lori tunda dilaporkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler ketika kejadian di Kilometer 222.5 Lebuh Raya Pantai Timur dekat sini pagi tadi.
Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu mengorbankan pemandu jentera penunda, Muhammad Asrul Yatim, 22, serta kelindan, Lum Wai Kit, 22, yang kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, nahas berlaku ketika kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan.
Tambah beliau lagi, lori tunda berkenaan dipandu di lorong kecemasan sebelum ia merempuh sebuah treler membawa muatan benih pokok nanas yang ketika itu berhenti di laluan sama kerana mengalami kerosakan.
“Lori tunda itu sedang menunda Toyota Avanza di belakang. Apabila tiba di tempat kejadian, ia merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
“Ketika rempuhan berlaku, pemilik Toyota Avanza berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun turut berada dalam kenderaan yang ditunda itu,” ujar beliau.
Kamarulzaman menambah, pemilik Toyota Avanza yang ditunda berkenaan turut mengalami patah tulang kedua-dua belah paha akibat rempuhan tersebut.
Ujar beliau lagi, kedua-dua mayat tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.
Pemilik kenderaan yang ditunda berkenaan turut di rawat di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











