KUCHING 8 April – Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Tanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintenden Awang Din Awang Ghani hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kuching yang baharu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Menurut Awang Din, dia mengakui tugas sebagai Ketua Polis Daerah adalah tugas dan tanggungjawab yang amat berat serta akan memastikan ketenteraman di daerah tersebut terus dikekalkan.
“Jawatan yang diterima ini merupakan satu kepercayaan dan amanah daripada pucuk kepimpinan PDRM, dalam erti kata lain pangkat datang berserta dengan tanggungjawab.
“Walau seberat mana tugas yang digalas, ianya boleh diringankan dengan bekerja sebagai satu pasukan dan saya mengharapkan kerjasama daripada semua pegawai serta kakitangan yang telah lama bertugas di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim.
Awang Din menggantikan Superintenden Ismail Ismail Mahmood yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Kuching selepas persaraan wajib Asisten Komisioner Ng Ah Lek pada Mac lalu. – UTUSAN ONLINE











