Tiada pengeluaran luar biasa di cawangan TH - Utusan Malaysia

Tiada pengeluaran luar biasa di cawangan TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tiada pengeluaran wang secara luar biasa di kaunter cawangan Tabung Haji (TH) seluruh negara selepas Lembaga TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus Jumaat lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga hari ini, urus niaga di setiap kaunter TH di seluruh negara berjalan lancar dan dalam keadaan terkawal.

Jelasnya, beliau juga dimaklumkan bahawa kebanyakan cawangan TH di seluruh negara menerima caruman pendeposit baharu selepas pengumuman hibah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ingin menafikan bahawa terdapat pengeluaran wang secara luar biasa di kaunter TH. Dengan pertambahan pendeposit, ia menunjukkan bahawa mereka memberi keyakinan terhadap TH dan barisan pengurusan baharu.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin memberi jaminan kepada para pendeposit bahawa kita bukan sahaja akan memastikan wang mereka selamat tetapi, TH bersama kerajaan komited untuk membawa institusi ini lebih maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Rakan Masjid Hospital (Ramah) di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Mujahid, kerajaan juga berusaha untuk menjana pendapatan dengan lebih mampan bagi mengoptimumkan pulangan pendeposit.

“Institusi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu dalam keadaan bermasalah ini berada di landasan yang tepat selepas segala penstrukturan dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid turut berkata, kerajaan kini sedang mengkaji mekanisme baharu untuk menurunkan tempoh  menunggu untuk menunaikan haji.

Jelasnya, sebelum ini, tempoh menunggu untuk menunaikan haji boleh mencecah sehingga 100 tahun.

“Tempoh menunggu haji boleh dikurangkan. Kita ada cara untuk menurunkan tempoh itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini