PUTRAJAYA 8 April – Seramai 280 orang warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta rakan strategik mereka mengambil bahagian di dalam program kayuhan basikal sempena ulang tahun ke-212 pasukan itu.
Riadah berbasikal sejauh 22 kilometer yang dianjurkan oleh pihak Ibu Pejabat Kontinjen PDRM Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat PDRM Putrajaya tersebut bermula dan berakhir di Dataran Kawad IPD Putrajaya.

Selepas berkenan berangkat melepaskan para peserta, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sendiri berkenan bersama-sama berkayuh diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Sepanjang kayuhan tersebut para peserta turut singgah di Taman Saujana Hijau, Seri Perdana dan Laman Singgah sebelum menyaksikan satu program khas baginda bersama anak-anak yatim yang diadakan di pekarangan Masjid Putra. – UTUSAN ONLINE











