KUALA LUMPUR – Sejak di universiti, Shaick Saifullah Jehangir Ali, 26, rajin mencari peluang untuk menambah duit poket dan berniaga mengumpul modal untuk mengembangkan perniagaan kecil-kecilannya.
Bermula dengan menjual kacang pada usia 19 tahun, kini Pengasas syarikat Ombak Groups Sdn. Bhd. yang berasal dari Johor itu telah meluaskan empayar perniagaannya dalam bidang percetakan dengan bidang teras termasuklah menghasilkan jersi berkualiti tinggi berjenama Ombak Exclusive.
Menurut beliau, idea menjual kacang yang dipek kecil-kecil dan diletakkan di beberapa lokasi strategik tumpuan pelajar di sekitar universiti memandangkan ia merupakan satu perniagaan yang mudah selain mendapat permintaan tinggi daalam kalangan pelajar.
“Saya melakukannya secara konsisten sehingga berjaya meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, disebabkan itu saya terpaksa menghabiskan masa untuk membungkus semula kacang yang dibeli daripada pemborong dalam pek-pek kecil. Kemudian, saya membawanya ke 13 lokasi strategik di sekitar kampus setiap hari.
“Terdapat balang untuk pelajar mengisi duit selepas membeli kacang.
“Perniagaan sebegini ada risikonya kerana ia berdepan dengan masalah kehilangan kacang dan wang tetapi saya tawakal kepada Allah dan tidak berputus asa kerana jika sudah tertulis ada rezeki saya, maka saya tidak akan pulang dengan tangan kosong,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Hasil usaha tersebut, beliau berjaya mengumpul modal sebanyak RM60,000 untuk membuka sebuah bengkel mencetak baju. Peluang ini diambil memandangkan ramai rakan di universiti terpaksa membeli baju jersi atau pakaian untuk program sukan atau hari keluarga pada harga yang mahal.
“Idea itu membuatkan saya terpanggil untuk membuka bengkel (kilang kecil) bagi mencetak baju yang ditempah, lebih menarik saya juga merupakan seorang pelajar yang aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab di universiti.
“Sehubungan itu, segala tempahan baju untuk majlis yang dianjurkan telah ditawarkan kepada saya, malah ia dijual pada harga mampu milik.
“Ketika itu saya bekerja seorang diri bagi menyiapkan segala tempahan pada skala kecil dan segalanya berjalan baik, namun tugas dan tanggungjawab saya sebagai pelajar tidak dilupakan malah saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Pengguna pada tahun 2016,” jelasnya.
Tambah beliau, tempahan pertama yang diterimanya ialah mencetak 60 helai baju untuk pasukan Squash Pulau Pinang dengan harga RM1,200.
Bermula dari situ, permintaan semakin bertambah sehingga saya terpaksa mencari pekerja. Melihat potensi perniagaan tersebut, dia tidak menoleh ke belakang lagi. Perniagaan tersebut diperluaskan bermula dari sebuah kilang kini bertambah kepada tiga buah kilang dengan 90 peratus daripadanya disumbangkan daripada percetakan pelbagai jenis baju.
Namun jelasnya, 70 peratus daripada percetakan baju disumbangkan oleh segmen jersi berkualiti tinggi yang materialnya diimport bagi memenuhi cita rasa pelanggan kini.
“Jersi Ombak Exclusive memiliki kelebihan kerana ia bersesuaian untuk pelbagai aktiviti luaran, kainnya yang menyerap peluh, tidak luntur serta mengembang atau mengecut selepas dibasuh atau digunakan beberapa kali.
“Jersi tersebut boleh didapati dalam saiz XS sehingga 6XL dan dijual pada harga antara RM25 hingga RM99 sehelai.
“Selain jersi yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan, syarikat juga menawarkan jersi mengikut trend semasa seperti musim piala dunia atau Sukan Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Shaick menjelaskan, pelanggannya paling ramai berusia antara 17 hingga 25 tahun selain pengikut jenamanya di media sosial kini bertambah kepada hampir 90,000 orang.
Tempahan yang diterima kini ialah antara 25,000 hingga 30,000 helai sebulan dan 80 peratus daripadanya dijual secara online.
“Menyentuh perancangan masa depan, kami bercadang untuk membuka sebuah kedai pameran di lokasi strategik di Kuala Lumpur dengan modal kira-kira RM20,000 menjelang suku pertama ini bagi membolehkan pelanggan melihat dan memilih pelbagai rekaan jersi dan koleksi barangan lain keluaran syarikat,” jelasnya.
Lebih menarik, syarikat juga bakal menawarkan peluang perniagaan kepada pengedar untuk menambah pendapatan tambahan dan kini ia memiliki 220 ejen di seluruh negara.
Pihaknya juga mahu menambah jumlah ejennya kepada 1,000 menjelang akhir tahun ini sebagai usaha untuk meluaskan rangkaiannya sekali gus mengukuhkan jenama Ombak Exclusive.
Mereka yang berminat mengenai produk syarikat dan menjadi pengedar, boleh menghubungi talian 017-243 6621.











