Eksekutif jualan didakwa terima suapan pemalsuan sijil akademik - Utusan Malaysia

Eksekutif jualan didakwa terima suapan pemalsuan sijil akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang eksekutif jualan didakwa di Mahkamah Sesysen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan pemalsuan sijil diploma dari sebuah universiti swasta pada tahun lalu.

Tertuduh, C. Vijayakumar, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM500 ke akaun Public Bank daripada Muhamad Amir Safwan Rusli sebagai upah bagi mendapatkan sijil Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atas nama Mohd. Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur yang betul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 4.39 petang di Public Bank cawangan Melaka, Jalan Merdeka Taman Melaka Raya, 19 Januari 2018.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 tertakluk mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan sebanyak RM5, 000 manakala Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai pertuduhan lain atas kesalahan sama di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mohd. Nasir membenarkan jaminan sebanyak RM3, 000 dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Shah Alam bagi sebutan semula bersama kes terdahulu pada tarikh 9 April (esok).

Kosmo! Online pada 30 Januari dan 4 April lalu melaporkan Vijayakumar telah dihadapkan di Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan pemalsuan ijazah sarjana muda dari sebuah universiti swasta tahun lalu. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini