REMBAU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempamerkan bakat terpendam beliau menari dan menyanyi lagu Tamil di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas Rantau dekat sini malam tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyajikan tarian itu hampir tiga minit dengan iringan penghibur tempatan yang mendengangkan lagu daripada filem lakonan MG Ramachandran (MGR).
Orang ramai yang menghadiri program Malam Kebudayaan India sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu memberi tepukan gemuruh.
Anwar pernah mempamerkan bakat sama di hadapan pengundi India semasa beliau bertanding PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada 6 Oktober tahun lalu.
Presiden PKR itu seterusnya menyeru masyarakat India yang menghadiri majlis itu jangan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kata beliau, pengundi India di Rantau tidak sepatutnya mengundi Mohamad yang sinonim dengan jolokan Tok Mat itu kerana Tok Mat kini berkawan dengan Pas.
“Jadi aci kena ingat mesti sokong (calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram). Lawan Tok Mat dia campur sama Pas. Dia bilang mahu jaga hidup Melayu. India mahu letak mana. Cina mahu letak mana. Ini negeri kita kena jaga Melayu, India, Cina.
“Pilihan raya di Rantau memang cuma pilihan raya kecil, tetapi kalau kita tak jaga dan beri Tok Mat menang, dia akan bergabung dengan Pas mahu India letak mana,” katanya lagi. – K! ONLINE











