JOHOR BAHRU 6 April – Seorang polis berpangkat Inspektor ditahan sepasukan polis Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung rampasan terbesar dadah jenis syabu seberat 2.06 tan bulan lalu.
Inspektor berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di rumahnya di sini pada pagi semalam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.
“Ya benar ada tangkapan. Selain daripada itu diminta rujuk dengan Bukit Aman,” katanya.
Utusan Malaysia pada 22 Mac lalu melaporkan, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar didalangi rakyat tempatan ditumpaskan membabitkan rampasan dipercayai jenis syabu seberat 2.06 tan dianggarkan bernilai RM103.2 juta.
Rampasan dalam serbuan pada 19 Mac lalu itu merupakan kejayaan kerjasama tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Dalam serbuan pada 7.30 hingga 10 pagi itu, seramai enam lelaki tempatan termasuk dalang utama berjaya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Ulu Tiram. – UTUSAN ONLINE











